Buku berjudul Siri Usahawan Tani (Ternakan Cacing) ditulis oleh Nasnan Jajuli. Kandungan buku ini secara ringkas berkisar tentang penternakan cacing sebagai salah satu perusahaan yang menjana pulangan yang lumayan.
Biasanya kita melihat orang mencari cacing untuk dibuat umpan memancing. Namun siapa menyangka cacing juga boleh menjadi sumber rezeki. Cacing diternak untuk menghasilkan produk baja dikenali vermikompos, sejenis baja organik yang kaya dengan nutrien, baja semula jadi dan penstabil tanah.
Bab pertama buku ini menerangkan tentang spesies cacing, jenis cacing mengikut tabiat ekologi, sifat-sifat cacing dan ciri-ciri cacing yang sesuai diternak. Cacing merupakan salah satu agen penguraian yang efektif dan boleh dikomersialkan. Cacing berkebolehan menguraikan bahan organan sehingga 60 peratus daripada berat badannya dalam masa sehari. Penggunaan cacing mampu menyelesaikan masalah pelupusan sampah dan sisa buangan hasil makanan atau sisa hasil pertanian. Pelupusan ini menghasilkan vermikompos yang boleh digunakan sebagai baja untuk tanaman. Struktur badan cacing adalah lembut, lurus dan tidak mempunyai kaki serta tulang belakang. Terdapat lima spesies yang sesuai diternak di Malaysia, iaitu Lumbricus rubellus (cacing merah), Eisenia foetida (cacing harimau), Pheretima asiatica, Pherionyx excavates dan Diplocardia spp. Cacing bersifat hemaprodit, iaitu alat kelamin jantan dan alat kelamin betina terdapat pada satu cacing yang sama. Badan cacing terbahagi kepada tiga, iaitu bahagian hadapannya atau anterior, bahagian tengahnya klitelum dan bahagian belakangnya posterior. Cacing juga tidak mempunyai mata, kepala, tangan, kaki, hidung dan tangan, tetapi cacing mempunyai mulut. Ciri-ciri cacing yang sesuai untuk diternak secara komersial adalah seperti suka makan lapisan atas, selera makan yang tajam, dan membiak dengan cepat.
Bab kedua pula menerangkan tentang tujuan penternakan cacing dari segi prospek, kelebihan penternakan cacing dan vermikas. Tujuan penternakan cacing adalah untuk mendapatkan baja organik yang dikenali sebagai vermikompos (vermikas), teh vermikas dan untuk pengkomersialan. Cacing yang diternak dijadikan sebagai agen untuk penguraian bahan organan tertentu, iaitu najisnya digunakan sebagai baja organik vermikompos. Negara maju seperti Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun telah lama menggunakan vermikompos dalam sektor pertanian dan hasil pertaniannya juga meningkat, kualiti bertambah baik serta hasil tanaman juga selamat digunakan. Antara kelebihan penternakan cacing termasuklah menghasilkan vermikultur dan vermikompos sebagai baja organik yang bermutu dan berkualiti, teh vermikas sebagai bahan kawalan serangga dan penyakit dan sumber protein untuk haiwan ternakan. Vermikas yang mengandungi humus semula jadi pula berfaedah kepada tumbuhan yang mampu mengatasi masalah sisa buangan, menstabilkan nilai pH, menghasilkan asid humik, mampu sebagai pemerangkap toksin, kandungan nutrien yang lengkap dan penggunaannya tidak merosakkan struktur tanah.
Bab ketiga, keempat, kelima dan keenam pula menjelaskan secara terperinci tentang habitat cacing, kaedah penternakan cacing, pembiakan cacing dan vermikompos. Ciri-ciri habitat cacing ialah memerlukan kadar kelembapan persekitaran yang betul dan pengudaraan yang baik. Kekurangan atau ketiadaan oksigen dan pengudaraan yang tidak baik boleh membunuh cacing dengan pantas, bukan sahaja disebabkan kekurangan oksigen tetapi juga kerana kandungan toksik seperti ammonia yang dihasilkan oleh pelbagai jenis mikrob yang membiak disebabkan keadaan ini. Ciri-ciri lain termasuklah kawalan suhu yang agak sederhana panas iaitu antara 20 hingga 30°C dan nilai pH dalam lingkungan pH5 hingga pH9. Cacing amat sensitif terhadap cahaya dan garam yang terdapat pada binca. Antara masalah penternakan cacing ialah serangga, lipan dan cicak. Pembiakan cacing memerlukan habitat yang sesuai seperti terlindung daripada pancaran terus cahaya matahari dan terlindung daripada air hujan (tempat berbumbung). Hasil bahan organan dan najis ternakan yang diberikan kepada cacing ternakan akan menghasilkan najis cacing. Najis ccaing ini dikenali juga sebagai vermikas. Manakala vermikas dalam bentuk komersial bagi tujuan pembajaan dikenali sebagai vermikompos.
Bab ketujuh dan kelapan pula berkaitan tentang rancangan pemasaran dan rancangan kewangan penternakan cacing. Apabila kita melakukan pemasaran, sebaik-baiknya produk yang kita hasilkan diakui oleh pengguna akan kebaikan atau keberkesanannya terhadap tanaman mereka. Jika kita mampu melakukan perkara tersebut, sudah tentu pasaran yang dibuat akan menjadi mudah dan keadaan ini merupakan kelebihan produk kita. Perancangan kewangan yang dilakukan adalah untuk mengira keuntungan sepanjang tempoh penternakan beroperasi. Rancangan kewangan lebih menumpukan kepada penternakan cacing dengan penjualan cacing dan penghasilan baja berasaskan cacing.
Bab kesembilan iaitu bab akhir buku ini menjelaskan tentang strategi penternakan cacing. Strategi pengeluaran penting bagi menjayakan satu-satu projek yang dijalankan. Penternak perlu bijak dalam mengatur setiap strategi supaya usaha yang dilakukan dapat berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan dan memperoleh keuntungan yang maksimum. Penternak harus membuat perancangan yang teliti, meminimumkan modal, memaksimumkan keuntungan dan fokus terhadap kerja agar segala yang diimpikan akan menjadi kenyataan.
No reviews found