Shamsudin Othman dan D. Zawawi Imron bukan sekadar dua sosok yang terpisah jauh di dua negara, tetapi kedua-duanya juga datang daripada jurang dua generasi yang berbeza. Zawawi membesar dalam zaman kegetiran negara Indonesia untuk bangun sebagai negara yang merdeka dan sempat merasai “nikmat” hidup miskin yang membangunkan daya fikir dan daya puitis yang luar biasa, selain tidak berpeluang menyambung pendidikan sehabis SD, yang kemudiannya menyebabkan beliau harus membuat kerja-kerja berat untuk menyambung kehidupan. Shamsudin pula membesar ketika Malaysia sudah melangkah ke era baharu, kemudahan pendidikan diberikan secara menyeluruh kepada rakyat, dan peluang pekerjaan terbuka. Walaupun berbeza latar dan pengalaman hidup, namun kedua-duanya mempunyai persamaan. Persamaan itu ialah, kedua-duanya mendukung kecenderungan yang sama, iaitu karya-karya mereka tegar dan teguh dengan nuansa Islam, seperti yang termuat dalam antologi ini.
Antologi yang mempertemukan dua penyair hebat daripada dua negara tetangga yang terpisah oleh garis geografi, tetapi menyatu dalam rumpun yang sama ini, menjadi khazanah yang harus dimiliki dan dicernai.
No reviews found