Kamarul seorang atlet lari pecut yang telah memenangi pingat di kejohanan sukan MSSM dan juga Sukan SEA Brunei. Hasil kejayaannya mendapat perhatian media dan televisyen. Selepas nama dan imejnya menjadi popular, Kamarul mula berubah sikap menjadi seorang yang sombong. Sikap angkuhnya dilihat apabila tidak hadir ke latihan oleh jurulatihnya Encik Kadir. Ramai dikalangan guru dan pelajar tidak menyenangi sikap Kamarul sehingga rakan baiknya Saridah menasihati Kamarul untuk mengubah sikap buruknya itu. Namun, Saridah telah dimarahi oleh Kamarul. Dia yang enggan menyertai latihan kecergasan Encik Kadir, telah membuat latihan kecergasan sendiri. Dalam masa yang sama, rakan atlet Kamarul, Sures Menon berusaha untuk melepasi rekod masa terbaik Kamarul. Dalam pemilihan ke Sukan SEA Bangkok, Sures berjaya mengalahkan Kamarul. Dia mula berasa tertekan dan runsing. Hubungannya dengan Encik Kadir, rakan-rakan dan Saridah semakin renggang. Ketika Kamarul ingin menyeberang jalan, sebuah kereta telah datang dari arah bertentangan dan melanggar Kamarul kerana dia melintas tanpa menoleh ke kiri atau kanan. Kamarul telah dimasukkan ke hospital dan mengalami kecederaan di bahagian muka, mata dan juga lututnya.
Semasa terlantar di hospital, Kamarul telah menerima kunjungan daripada Encik Kadir, Cikgu Zainal, Saridah dan rakan-rakannya. Tragedi ini, telah membuatkan ego Kamarul menurun dan memohon kemaafan daripada mereka semua atas sikap keangkuhannya. Selepas dibenarkan keluar dari hospital, Kamarul mula membuat persiapan untuk menghadapi pertandingan yang bermakna baginya iaitu kejohanan Sukan SEA ke 14 di Bangkok, Thailand. Setibanya di Bangkok, Kamarul telah berjumpa dengan De Wega, seorang atlet lari pecut yang berasal dari Filipina. Pertemuan tersebut telah menaikkan semangat Kamarul yang pudar sebelum ini selepas siri kejadian yang meninpanya dan Kamarul dinasihati oleh De Wega untuk menjadi seorang yang berdisiplin serta tidak berputus asa. Kamarul, De Wega, Sures dan beberapa pelari pecut dari negara lain bertanding dalam acara 100 meter dan 400 meter di Stadium Nasional, Bangkok. Kamarul berjaya mendapat pingat emas dalam kedua-dua acara tersebut. Kamarul pulang ke Malaysia dengan rasa gembira dan tidak sabar untuk berjumpa dan menghargai keluarganya, Saridah dan kawan-kawan yang lain.
No reviews found