ISBN: 9789672422181
Penulis: Mohd Affendi bin Mohd Shafri
Tahun Terbitan: 2021
Muka Surat:52
Format: Softcover
Berat (kg):0.13 kg
Dimensi (cm): 22.9 cm x 15.3 cm x 0.5 cm
Panduan Mengkaji Manuskrip Perubatan Melayu disusun serta dikembangkan daripada kaedah sedia ada serta penambahan kaedah baharu, dikumpulkan secara ringkas dalam panduan ini untuk digunakan dalam bengkel-bengkel perumian. Justeru, buku panduan yang diberi nama Panduan Mengkaji Manuskrip Perubatan Melayu juga boleh dijadikan panduan kilat dan pantas oleh para pelajar dan pengkaji untuk merangka kajian dan menulis kertas cadangan kajian mereka.
Kajian ke atas manuskrip perubatan Melayu sedang berkembang dengan baik di rantau ini. Kesedaran masharakat tentang kehadiran khazanah ini menarik perhatian banyak pihak untuk mengusahakan kajian sama ada ke atas manuskrip mahupun kandungan manuskrip tersebut. Ini menyebabkan bahawa kajian ke atas manuskrip perubatan Melayu tidak lagi terhad kepada usaha yang dijalankan oleh ahli sejarah dan ke atas naskhah secara fizikal, tetapi turut melibatkan para saintis dan sarjana dalam ‘ilmu perubatan dan ‘ilmu kesihatan terhadap ‘ilmu yang terkandung di dalamnya.
Para pengguna panduan ini adalah dinasihatkan supaya turut merujuk kepada buku-buku panduan sedia ada serta menyertai bengkel-bengkel yang diadakan dan semasa ke semasa untuk memantapkan pemahaman dan kemahiran. Kaedah yang terkandung dalam panduan ini juga bukanlah bersifat muktamad malah boleh diperbaiki sekiranya tidak bersesuaian atau perlukan penambahbaikan.
Manuskrip perubatan Melayu merupakan salah satu bidang penulisan yang popular di kalangan orang Melayu jika dilihat dari segi bilangan, keragaman dan sebarannya yang luas. Secara tidak langsung, ini menunjukkan ‘ilmu perubatan sudah menjadi satu bidang ‘ilmu yang penting dalam kalangan orang Melayu yang di’amalkan dan dirakam dalam bentuk tulisan, merakyat dan membumi. Beberapa kawasan di ‘Alam Melayu diketahui pernah menghasilkan banyak karya perubatan contohnya Fatani, Pontianak dan Riau-Lingga. Setengahnya mempunyai tabib-tabib diraja yang turut meninggalkan karya sama ada secara bertulis atau bercetak.
Manuskrip perubatan Melayu secara ‘amnya mesti mengandungi kandungan yang mewakili ‘ilmu perubatan iaitu lebih daripada 80% perbincangannya mestilah mengenai perubatan. Sebuah kitab fiqh tidak sesuai dikategorikan sebagai kitab perubatan meskipun kandungannya mungkin berkaitan dengan hal ehwal tubuh badan manusia seperti hayd. Manakala manuskrip yang mempunyai berbilang-bilang ‘ilmu tanpa bab-bab yang jelas mestilah dirujuk sebagai kitab mujarrabat sahaja dan tidak sesuai dikategorikan sebagai kitab perubatan.
No reviews found