Saiz: 5.5" x 8.5"
ISBN-13: 978-967-411-075-8
Tarikh Terbit: 2 Apr 2013
Jumlah Muka Surat : 192
Review
Bagaikan mutiara yang masih mendap di dasar lautan, begitu jugalah dengan Nusaibah. Kisahnya tidak banyak diperkatakan dan kurang diketahui oleh masyarakat umum. Andainya kita didedahkan dengan kisah hidup Nusaibah, kita pasti terperanjat kerana Nusaibah Al-Anshariyah, adalah seorang srikandi Islam yang sangat dimuliakan oleh Allah dan Rasulullah. Rasulullah sendiri yang secara khusus mendoakan Nusaibah, supaya beliau dan ahli keluarganya menjadi teman Rasulullah di syurga.
Nusaibah adalah antara wanita Madinah yang terawal memeluk Islam. Dalam Perjanjian Aqabah yang ke-2, hanya dua orang wanita sahaja yang mendapat keistimewaan bertemu dan bersumpah setia bersama Rasulullah. Nusaibah adalah seorang daripadanya. Beliau dan suami, serta dua orang anaknya yang masih kecil mengharungi perjalanan dari Madinah ke Mekah yang sangat mencabar, semata-mata mahu bertemu Rasulullah dan bersumpah akan melindungi Rasulullah dengan nyawa mereka.
Ketika memeluk Islam, Nusaibah bukanlah anak gadis yang masih muda. Nusaibah sudah berusia 50 tahun ketika hidayah dan sinar Islam menerangi hatinya. Namun, wanita tua ini memanifestasikan cintanya kepada Allah bukan dengan ibadah semata-mata, namun turut sama berjuang di medan jihad. Nusaibah adalah srikandi Islam yang menyertai hampir semua peperangan bermula di Perang Uhud. Beliau adalah wanita pertama yang menghunus pedang, dan bersama-sama pahlawan Islam menjadi perisai mempertahankan Rasulullah.
Ketika ramai tentera Islam yang lari dari medan Uhud, Nusaibah melangkah berani mengangkat pedang untuk mempertahankan Rasulullah. Tubuh Nusaibah dirobek lebih daripada sepuluh tusukan tombak dan dilibas dengan pedang. Bahunya luka parah ditetak oleh musuh Allah. Rasulullah memberi penghargaan istimewa kepada Nusaibah dalam hadis berikut, “Tidakku toleh ke kanan dan ke kiri, kecuali aku melihat Nusaibah berperang dihadapanku.” Dalam Perang Uhud inilah, Rasulullah mendoakan supaya Nusaibah dan keluarganya menjadi teman Rasulullah di syurga kelak.
Anak kedua Nusaibah, Habib Bin Zaid adalah utusan yang dihantar oleh Rasulullah kepada Musailamah Al-Kazzab, nabi palsu yang mahu memerangi Islam. Habib akhirnya mati syahid selepas diseksa dengan sangat kejam oleh Musailamah. Dalam Perang Yamamah, anak pertama Nusaibah, Abdullah Bin Zaid berjaya membunuh Musailamah. Nusaibah sendiri turut menyertai Perang Yamamah walaupun usianya ketika itu lebih kurang 60 tahun.
Segala puji bagi Allah yang mengurniakan ilham dan kekuatan kepada Ezee Rahmani untuk menulis buku ini. Kemudian, Allah memilih kita untuk membaca ulasan ini dan berkenalan dengan Nusaibah. Semoga kita juga menjadi insan yang terpilih untuk berjuang di medan jihad dan syahid pada jalan Allah. Mudah-mudahan semangat Nusaibah dapat memenuhi seluruh rongga badan dan menyuburkan semangat jihad dalam diri kita. Hebatnya Nusaibah mempertahankan agama Allah dan melindungi Rasulullah. Kisah hidup dan perjuangan Nusaibah dinaratifkan dengan bunga bahasa yang cukup indah di dalam buku ini. Dapatkannya segera di kedai-kedai buku yang berhampiran, atau beli secara online dengan diskaun istimewa di PTS Bookcafe, www.bookcafe.com.my
No reviews found