(NOVEL) Sherlock Holmes: A Study in Scarlet & The Sign of Four (RAK D102)

Write a review
RM25.00
Ask a question
978-967-369-359-7
In stock
+
Format: Paperback
Saiz:4.5"x7.25"
ISBN: 9789673693597
Jumlah Muka Surat: 426
Berat (Kg): 0.48

===========================
 
Penyiasat genius eksentrik yang ikonik, Sherlock Holmes dan sahabatnya, Dr. John H. Watson mula diperkenalkan dalam majalah Beeton's Christmas Annual pada tahun 1887.
 
Dan hingga kini, tiada siapa yang dapat menyangkal bahawa Sherlock Holmes adalah watak fiksyen paling terkenal dan telah muncul dalam pelbagai bahasa dan medium.
 
Buku ini mengandungi dua novel terawal:
 
1. A Study in Scarlet: tentang misteri pembunuhan yang memeningkan dan tulisan Rache berdarah pada dinding
 
2. The Sign of Four: memperkenalkan watak Mary Morstan, wanita muda yang meminta bantuan Holmes dan Dr. Watson merungkai misteri mutiara yang diterimanya setiap tahun, beberapa tahun selepas kematian ayahnya.  
 
 
PETIKAN NOVEL:
 

Laluan menghala ke dapur dan pejabat yang diperbuat daripada papan itu penuh dilitupi debu. Kelihatan satu pintu di sebelah kanan dan satu lagi di sebelah kiri. Satu pintu itu kelihatan seperti ditutup berminggu-minggu lamanya. Satu lagi adalah pintu masuk ke dewan makan. Semasa mengikuti Holmes melangkah masuk ke rumah itu, saya diselubungi perasaan sedih akibat kematian itu. 

Bilik berbentuk empat segi itu kelihatan luas kerana tidak dilengkapi perabot. Kertas hias dinding berwarna terang tetapi hodoh coraknya itu kelihatan mengembang dan berkulat, tertanggal dan tergantung di sana sini, mendedahkan plaster berwarna kuning. Berhadapan dengan pintu ada sebuah pendiangan yang kelihatan gah, lengkap dengan para perapian yang diperbuat daripada jubin tiruan. Di satu sudut tempat api, terlekat sebatang tunggul lilin berwarna merah. Terdapat hanya sebuah tingkap di bilik itu yang kelihatan sangat kotor, sehingga menghalang cahaya. Akibatnya seluruh bilik itu kelihatan suram dan kelabu. Ini diburukkan lagi dengan lapisan habuk yang menyelaputi seluruh apartmen itu.

Sebelum itu seluruh perhatian saya tertumpu pada mayat yang terbaring kaku di bilik itu. Meremang bulu roma saya melihat kedua-dua belah mata si mati yang terbeliak. Umurnya mungkin 43 ataupun 44 tahun. Badannya bersaiz sederhana dan dia berdada bidang, berambut hitam kerinting halus, dan berjanggut pendek. Dia memakai kot tebal yang diperbuat daripada kain broadcloth, berserta weskot dan seluar berwarna cerah. Bajunya berkolar bersih, rapi dan lengkap dengan manset. Sebuah topi jenis top hat yang kemas dan bersih terletak di sebelah mayat.

Kedua belah tangannya terangkat ke atas kepalanya, manakala kedua-dua kakinya bersilang seumpama terkunci. Keadaan itu menunjukkan sebelum menemui ajalnya dia meronta-ronta kerana menahan kesakitan. Ekspresi ketakutan serta kebencian pada mukanya itu belum pernah saya lihat pada wajah seorang manusia. Pada wajahnya terbayang perasaan ketakutan dan kesakitan. Postur kekejangan badannya yang aneh itu diburukkan lagi oleh rupa dahinya yang rendah, hidungnya yang besar, serta rahangnya yang prognatus, menjadikan mukanya kelihatan seperti haiwan dari spesies siamang ataupun monyet. Banyak kematian yang saya saksikan, namun tiada kematian yang lebih menakutkan daripada kematian di apartmen gelap dan kotor yang terletak di kawasan elit di pinggir bandar London itu. 

Lestrade yang kurus dan tinggi lampai itu menyambut kedatangan kami. 

“Kes ini menggemparkan, tuan,” katanya. “Saya bukanlah seorang yang penakut, tetapi belum pernah lagi saya berhadapan dengan kes seperti ini.”

“Tiada apa-apa petunjuk yang dapat digunakan untuk menyelesaikan kes ini?” tanya Gregson.

“Langsung tak ada, tuan,” jawab Lestrade.

Sherlock Holmes menghampiri mayat, dan melutut, seraya memeriksanya dengan teliti. Sambil menudingkan jari ke arah tompokan dan ledakan kesan darah di sekitar mayat. “Awak yakin tak ada kesan luka pada mayat?” 

“Ya, saya yakin!” teriak kedua-dua detektif itu.

“Oleh itu, tentu ini darah orang kedua, mungkin darah si pembunuh, kalau pembunuhan sudah berlaku. Kejadian ini mengingatkan saya pada kes kematian Van Jansen, di Utrecht, Belanda, yang berlaku pada tahun 1834. Awak ingat kes itu, Gregson?”

“Maafkan saya, tuan. Saya tak ingat kes itu.”

“Awak perlu baca kes itu awak memang patut baca. Tiada perkara yang baru di dunia ini. Semuanya pernah dilakukan sebelum ini oleh orang-orang terdahulu.”

Sambil bercakap, jari-jemarinya bergerak cekap dan pantas memeriksa mayat dengan teliti. Manakala pandangan matanya kelihatan bersahaja dan tenang. Begitu pantas dia memeriksa mayat itu sehingga tiada siapa yang menjangka bagaimana halus dan telitinya pemeriksaan itu. Akhir sekali dia menghidu bibir si mati, dan seterusnya memandang ke arah but si mati yang diperbuat daripada kulit.

“Adakah mayat ini tak dialih langsung?” dia bertanya.

“Kami mengalihkannya sekadar mahu memeriksa.”

“Baiklah, sekarang bolehlah dihantar mayat ini ke rumah mayat,” katanya. “Tiada apa lagi yang dapat kita periksa.”

Ada empat orang anggota polis sudah bersedia dengan pengusung. Gregson memanggil mereka, lalu mereka memasuki bilik dan mengangkat mayat ke atas pengusung untuk dibawa keluar. Sewaktu mereka mengangkat mayat itu, sebentuk cincin terjatuh dan bergolek di lantai. Lestrade mengambil cincin itu dan merenungnya. 

“Ada wanita yang terlibat,” jeritnya. “Ini adalah cincin perkahwinan wanita.”

Kami mengerumuninya dan merenung cincin itu. Tidak syak lagi cincin emas itu pernah menghiasi jari seorang perempuan. 

“Ini merumitkan lagi kes,” kata Gregson. “Tuhan sahaja yang tahu betapa rumitnya kes ini sebelum ini.”

“Awak tak fikir penemuan baru ini memudahkan lagi kita menyelesaikan kes ini?” Holmes meninjau cincin itu. “Kita tidak mendapat maklumat baru dengan hanya merenungnya. Apa yang ditemui dalam poket si mati?”

Gregson menunjukkan ke arah selonggok objek di salah satu anak tangga sambil berkata, “Semua barang yang ditemui dalam poketnya ada di sini. Sebuah jam tangan bernombor 97163, yang dibuat oleh syarikat Barraud of London. Seutas rantai emas yang dibuat oleh syarikat Albert yang berat dan padat, serta bertanda simbol kumpulan Freemason. Pin emas yang berbentuk kepala anjing jenis bulldog yang mana mata anjing itu diperbuat daripada batu delima merah. Kotak kad yang diperbuat daripada kulit di Rusia, yang berisi kad bisnes kepunyaan Enoch J. Drebber dari Cleveland, Amerika Syarikat. Ini sepadan dengan huruf E.J.D. yang tertera pada pakaian si mati. Tiada dompet, tetapi hanya wang tunai berjumlah tujuh pound dan 13 pence. Buku berjudul ‘Decameron’ karangan penulis Itali yang terkenal itu, Giovanni Boccaccio, dengan nama Joseph Stangerson tertera pada helaian kosong buku ini. Ada dua pucuk surat, sepucuk dialamatkan kepada E.J. Drebber dan sepucuk lagi kepada Joseph Stangerson.” 

Holmes bertanya, “Apakah alamat yang tertera pada sampul surat?”

“American Exchange, Strand disimpan sehingga dituntut oleh penerimanya. Kedua-dua pucuk surat ini dihantar oleh Guion Steamship Company. Kandungan surat itu adalah makluman mengenai jadual pelayaran kapal yang mereka naiki dari pelabuhan Liverpool. Jelaslah mangsa akan pulang dengan kapal dari Liverpool ke New York.”

“Awak sudah mendapatkan maklumat mengenai si Stangerson ini?”

“Sudah, tuan,” Gregson menjawab. “Saya mengiklankannya dalam semua akhbar tempatan dengan serta-merta. Saya juga mengarahkan seorang anggota polis pergi ke American Exchange, tetapi dia masih belum pulang.” 

“Awak sudah menghantar telegram meminta maklumat daripada pihak polis Cleveland?”

“Kami hantar telegram pagi tadi.”

“Butiran apa yang awak minta?”

“Kami maklumkan tentang kejadian ini, dan meminta apa sahaja maklumat yang dapat membantu kami dalam siasatan.”

“Awak tak bertanya tentang butiran yang awak rasa penting dalam kes ini?”

“Saya meminta maklumat mengenai Stangerson.”

“Itu sahaja? Tiada perkara yang penting bagi membantu kita menyelesaikan kes ini? Adakah awak akan menghantar telegram sekali lagi?”

“Saya bertanya semua yang saya perlu tanya,” kata Gregson dengan nada tersinggung. 

Sherlock Holmes tertawa kecil sendirian. Dia mahu mengatakan sesuatu, tetapi terhenti apabila Lestrade masuk dari bilik depan. Dia menggosok-gosok tangannya serta tersenyum bangga.

No reviews found