Amrina tiada pesona. Parasnya tidak jelita, tona kulit tidak sekata… malah tubuh sedikit gempal juga. Berkawan baik pula dengan geng kaca mata yang skema. Pakej tidak menarik ini buatkan dirinya halimunan di Sekolah Sri Bangsar.
Diam-diam, Amrina menaruh hati kepada Zul Irfan… jaguh seni lukis sekolah. Segala perasaan dipendam, ia menjadi rahsia paling dalam. Bimbang dikatakan mengada-ngada… yalah, Zul Irfan itu kacak bergaya. Dirinya pula bagaikan lumut yang melukut di tepi tangga. Manalah setaraf dan serasi bersama.
Amrina dan tiga kawan dikenali sebagai Gadis Kaca Mata. Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan The Wannababes, mereka ibarat langit dengan bumi. Pelbagai ragam akan kita lihat sepanjang usaha mereka mengejar cinta hati masing-masing.
Tidak cukup dengan menjawab kuiz cinta dalam sebuah majalah kecantikan, mereka cuba mempraktikkan panduan dalam buku Resipi Mencari Cinta yang dijumpai di perpustakaan. Secara luaran, Amrina tidak kisah langsung dengan kuiz cinta ataupun buku Resepi Mencari Cinta.Namun dalam diam, dia cuba-cuba melakukannya ketika kawan-kawan lain tidak memberi perhatian.Amrina bijak menyembunyikan perasaan terhadap Zul Irfan tanpa diketahui Noreen dan Syakila.
Bagaimanapun, rahsia terbongkar selepas Amrina secara tidak sedar membela Zul Irfan apabila mendengar gosip tidak baik terhadap kekasih idamannya.
Kemudian, bermulalah misi yang dirancang Noreen dan Syakila terhadap Amrina sebagai usaha memikat hati Zul Irfan. Malangnya, lain yang dirancang, lain pula yang terjadi.Paling memalukan adalah insiden makan kertas semasa sesi pembelajaran.Adakah Amrina akan serik mengejar cinta? Mungkinkah semua perasaan akan kekal rahsia? Berjayakan jejaka idaman ditakluki hatinya?
No reviews found