================
Format: Paperback
Saiz: 5.3" x 7.6"
ISBN-13: 978-967-369-355-9
Tarikh Terbit: 14 Dec 2016
Jumlah Muka Surat: 240
================
Filsuf bukan nabi. Mereka tidak menerima wahyu mahupun terpelihara daripada dosa dan salah silap. Kaedah dan sumber ilmu mereka sering dikritik kerana selalunya dihadkan kepada hanya akal fikiran, pancaindera, dan kombinasi antara kedua-duanya.
Pun begitu idea-idea masih relevan setelah ratusan dan ribuan tahun hingga ke hari ini bersebabkan satu hal- bahawa mereka telah cuba menjawab persoalan yang sama yang manusia sekarang masih fikirkan semasa mandi, dalam kenderaan, atau pada tengah malam semasa menangisi imsomnia dan kesepian hidup.
Buku ini memuatkan kisah 25 filsuf Barat beserta idea-idea utama mereka yang diolah secara riang dan ringkas. Bukan semua cerita mereka serius. Filsuf juga manusia, mereka punya zaman kanak-kanak, pernah melaukan perkara bodoh, ditinggalkan kekasih, dan bangun tidur pukul 11 pagi.
Buku ini jangan diberi baca dan jangan dibacakan kepada kanak-kanak kerana ditakuti nanti terangkat hijab kewujudan pada usia yang terlalu awal. Eloklah ia diperhati oleh orang-orang yang sedang meningkat dewasa yang fikiran mereka sudah cukup bersedia untuk mengintai celahan tembok kefanaan dan dinding ilusi kehidupan.
============================================
ULASAN
Saya suka penulisan dan karya-karya Mat Luthfi kerana karyanya punya mesej dan isi yang jelas dan berguna. Walau disampaikan dengan cara yang paling sempoi, santai dan kelakar. Walau saya yang sudah berumur 30-an dan bukanlah hidup segenarasi dengan gen-Y, X dan hipster semua ini, tapi masih lagi mampu menghadam karya-karya Mat termasuk yang sebelum-sebelum ini.
Karya yang terbaru ini ternyata lebih berat walaupun telah cuba disampaikan dengan cara dan bahasa yang mudah dan santai. Mat menggunakan nota kaki untuk menjelaskan perkataan-perkataan yang dirasakan beliau sukar difahami oleh orang awam. Ini adalah langkah yang sangat bagus yang paling saya suka dalam karya ini. Walau kadang-kadang penjelasannya di hujung-hujung mula merepek dan melalut, tapi tidaklah sehingga menimbulkan rasa menyampah bahkan membolehkan kita ketawa kecil. Contohnya :
"Pelana ialah tempat duduk yang diletakkan di atas belakang kuda. Celana ialah seluar. Kelana ialah perbuatan mengembara. Lara Alana ialah anak Awal Ashaari dan Scha Al Yahya". Hahaha.
Tetapi kebolehan Mat untuk menerangkan beberapa konsep dan perkataan yang agak sukar difahami adalah sangat baik dalam buku ini.
Selain itu, usaha untuk memperkenalkan tokoh-tokoh falsafah Barat ini kepada masyarakat awam adalah satu langkah yang baik. Mat seolah-olah menjadi Montaigne dalam usaha untuk mempermudahkan falsafah untuk diterima umum disamping tidaklah terus memperbodohkan pembaca. Diberi pengenalan dan fakta-fakta penting idea asas setiap tokoh.
Saya selepas membaca buku ini merasakan yang saya jauh lebih berminat dengan konsep dan idea-idea pelopor falsafah dari generasi awal seperti Sokrates, Plato, Aristotle, Epikurus, Descrates kerana idea-idea mereka lebih realistik dan mempunyai roh dan makna yang tersendiri berbanding dengan idea-idea ahli falsafah yang terkemudian yang dibincangkan dalam buku ini yang pada saya semakin mengarut dan kehilangan makna.
Saya sangat terkesan dengan idea, "Aku berfikir maka aku ada", Decrates. Pernah dengar dah sebelum ini tapi lepas membaca tentang Decrates, maka makinlah nampak. Saya juga telah berkenalan dengan Hegel, yang mana seperti kata Mat "kalau membaca filsuf lain pun kau tak faham, usahlah kau terHegel-hegel nak membaca Hegel". Hahahah.
Sebagai orang awam dan bukanlah pembaca dan pengkaji falsafah, buku ini baik sebagai pengenalan untuk pembacaan saya yang seterusnya. Malah semakin saya teruja untuk membaca tentang tokoh-tokoh dan idea-idea ahli falsafah Muslim pula.
-sumber: Nurul Suhadah, https://bit.ly/2vt8HMv
No reviews found