Masyarakat dunia kini dilanda peningkatan penyakit bukan berjangkit yang berkaitan dengan gaya hidup yang tidak sihat seperti pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak dan tidak bersenam. Gaya hidup tersebut juga berkait langsung dengan keadaan ekonomi negara yang semakin baik dan bertambah maju. Semakin tinggi tahap sosioekonomi sesebuah negara, maka semakin berubah gara hidup penduduknya ke arah amalan yang tidak sihat.
Hal ini kerana amalan pemakanan masyarakat kini telah berubah kepada makanan yang lebih mudah disediakan dan didapati seperti makanan di restoran, makanan segera, berpaket dan bertin. Selain itu, cara hidup yang sibuk menyebabkan masyarakat tiada masa untuk menyediakan makanan sendiri. Makanan yang telah tersedia dijual di kedai atau restoran kebanyakannya tidak seimbang dari segi zat dan kandungannya. Ditambah lagi dengan kepesatan teknologi yang jelas meminimumkan masyarakat bergerak secara fizikal dan kurang menggunakan tenaga yang banyak. Akibat dari gaya hidup tersebut, maka masyarakat mengalami peningkatan kadar lebihan berat badan atau lebih dikenali sebagai obesiti. Isu yang membimbangkan ini dibahaskan dalam buku yang bertajuk Gaya Hidup Sihat Mengatasi Obesiti ini.
Kejadian obesiti berkait rapat dengan faktor sosiodemografi, tabiat pemakanan dan aktiviti fizikal. Semakin meningkat usia semakin tinggi risiko untuk menjadi obesiti dan golongan wanita lebih berisiko untuk menjadi obesiti berbanding dengan lelaki. Menurut buku ini, obesiti merupakan faktor penyebab risiko yang paling kerap ditemui bagi banyak penyakit selepas merokok. Perkara ini menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan sakit sendi.
Dalam buku ini mengandungi perincian dalam aspek penting obesiti seperti keseimbangan tenaga, pemakanan dan aktiviti fizikal. Turut dibentangkan dalam buku ini ialah Anda seorang yang obes? Adakah anda sentiasa berdiet tetapi tidak kurus malahan bertambah berat badan?
Menurut penulis, lebihan berat badan menjadi masalah bagi ramai orang pada masa kini. Proses untuk mengurangkan berat badan adalah sukar untuk dilakukan terutama bagi mereka yang memiliki berat badan yang berlebihan. Ada yang mengambil tindakan lapar, menggunakan pelbagai ubatan dan produk sampingan badan, namun masih tidak berjaya menyelesaikan masalah mereka. Sehinggakan ada individu yang sanggup mengambil jalan mudah dengan melakukan pembedahan bagi mendapatkan berat badan yang diidamkan. Mengapa kita boleh membazirkan wang yang banyak tetapi enggan untuk meluangkan masa untuk bersenam?
Buku ini memberi pengetahuan dan panduan kepada orang ramai mengenai obesiti, pemakanan sihat dan aktiviti senaman. Selain itu, penulis juga turut berkongsi pengalaman dan panduan untuk mengurangkan berat badan serta pengetahuan sebagai pakar kesihatan masyarakat. Penggunaan bahasa dan penyampaian maklumat juga mudah untuk difahami oleh golongan remaja dan dewasa. Diharapkan buku ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang obesiti dan dapat mengubah gaya hidup dengan pengambilan makanan yang seimbang dan senaman secara konsisten. Buku ini amat sesuai bagi membantu anda memiliki badan yang sihat dan kembali berkeyakinan.
No reviews found