Tahun Terbit: 2015
Halaman: 355 halaman
Etimologi, umumnya difahami sebagai bidang ilmu yang meneliti aspek sejarah atau asal usul dan perkembangan perkataan dalam sesuatu bahasa. Bidang merupakan satu bidang yang masih kurang mendapat perhatian para pengkaji dan penulis di negara ini. Bidang ini sangat penting, terutamanya dalam konteks perkembangan bahasa yang amat pesat pada masa ini. Dalam dunia perkamusan,etimologi ialah salah satu aspek yang utama.
Oleh itu, buku Etimologi Bahasa Melayu tulisan S. Nathesan ini ditulis untuk memperkenalkan bidang etimologi kepada pembaca, khususnya mengenai beberapa aspek etimologi tertentu dalam bahasa Melayu. Dalam buku ini, penulis telah menghuraikan takrif dan kepentingan bidang etimologi. Beliau juga telah menumpukan perhatian kepada aspek kemasukan perkataan-perkataan bahasa lain ke dalam bahasa Melayu,antaranya bahasa-bahasa Asia (China, Hindi, Sanskrit dan Tamil, bahasa Arab dan Parsi serta bahasa-bahasa Eropah).Maklumat tersebut perlu diketahui oleh warganegara Malaysia, terutamanya generasi muda demi mengenali dan menghayati bahasa kebangsaan kita.
Selain itu,aspek-aspek kata arkaik dan sejarah perkataan dalam bahasa Melayu, S. Nathesan turut menjelaskan tentang etimologi rakyat. Etimologi, umumnya difahami sebagai bidang ilmu yang meneliti aspek sejarah atau asal usul dan perkembangan perkataan dalam sesuatu bahasa. Ilmu linguistik menjadi semakin rencam kerana berbagai-bagai bidang baharu telah muncul dalam ilmu ini dan diberikan tumpuan oleh ahli bahasa.
Secara keseluruhannya, buku Etimologi Bahasa Melayu mengandungi sepuluh bab. Antara bab yang menarik dalam buku ini termasuklah bab Pengenalan kepada Etimologi, Pembentukan dan Sumber Perkataan Bahasa Melayu, Kata Arkaik dan Ilmu Etimologi, dan Etimologi Rakyat. Pengenalan kepada Etimologi merupakan bab pertama yang menjadi pembukaan buku ini. Dalam bab ini, penulis mengemukakan beberapa persoalan, antaranya termasuklah dari manakah datangnya perkataan?Bagaimanakah dan bilakah perkataan-perkataan dicipta dalam Bahasa?Mengapakah wujud pelbagai perkataan dalam Bahasa?Kenapakah Bahasa-bahasa berkongsi perkataan yang sama?Apakah sumber bagi perkataan yang terdapat dalam Bahasa?
Semua persoalan ini merupakan persoalan penting dalam bahasa,terutamanya dalam hal berkaitan dengan asal usul perkataan dan sejarah sesuatu perkataan. Jawapan kepada persoalan-persoalan ini terangkum dalam suatu bidang ilmu yang disebut etimologi. Bidang etimologi merupakan salah satu cabang ilmu linguistik,seperti bidang leksikologi, psikolinguistik,semantik atau sosiolinguistik. Etimologi juga mempunyai kaitan dengan ilmu lain seperti filologi,linguistik sejarah dan perkamusan.
Pembentukan dan Sumber Perkataan Bahasa Melayu pula merupakan bab ketiga yang menerangkan tentang perkataan yang merupakan salah satu unsur yang amat penting dalam mana-mana bahasa. Perkembangan industri,budaya dan sosial dalam sesuatu masyarakat turut mempengaruhi perkembangan perbendaharaan atau kosa katanya. Semua bahasa dunia dalam proses evolusinya akan memperoleh perbendaharaan kata atau leksikon dari semasa ke semasa. Perbendaharaan kata Melayu diperoleh daripada pelbagai sumber,antaranya termasuklah kata asli,kata pinjaman daripada bahasa-bahasa lain,slanga,dialek dan bahasa serumpun. Usaha menjejaki sumber atau asal usul perkataan merupakan tugas utama dalam kajian etimologi. Oleh itu,bidang etimologi bertujuan untuk mengetahui sumber atau akar bagi sesuatu perkataan dalam bahasa Melayu.
Sementara Kata Arkaik dan Ilmu Etimologi pula merupakan bab kelapan. Dalam bab tersebut, penulis menerangkan bahawa dalam dunia hari ini terdapat banyak barang atau benda yang disebut sebagai barang antik atau lama, seperti kereta antik, jam antik dan bermacam-macam barang antik lagi. Dalam bab ini,penulis kemukakan persoalan tentang adakah terdapat perkataan lama atau kuno dalam bahasa? Melalui kajian, tiada kata yang dianggap sebagai perkataan lama atau kuno dalam bahasa, malah kata-kata itu disebut sebagai kata asing atau arkaik dalam bahasa. Selain itu, dalam evolusi dan perkembangan sesuatu bahasa, memang ada perkataan yang lenyap atau hilang daripada penggunaannya, dan terus tidak lagi digunakan dalam tulisan atau percakapan umum. Melalui penjelasan ini, diterangkan bahawa semua perkataan dalam leksikon sesuatu bahasa ini dapat kekal selamanya ataupun tidak.
Akhir sekali, dalam Etimologi Rakyat yang merupakan bab terakhir buku ini diterangkan tentang pelbagai etimologi rakyat. Etimologi rakyat ini dianggap sebagai suatu aspek bahasa yang cukup popular dan dianggap suatu fenomena yang amat menarik dalam bidang etimologi. Selain itu, dalam bab ini juga dijelaskan tentang toponimi bagi beberapa nama tempat di negara kita. Toponimi ialah etimologi rakyat yang kerap memperkatakan hal memberikan nama kepada tempat. Kisah tentang asal usul nama ini sudah tentunya merupakan etimologi rakyat dan bukan etimologi tulen.
Kini, etimologi rakyat merupakan gejala yang diterima cukup meluas dalam kalangan masyarakat, walaupun asal usul sesuatu perkataan atau rangkai kata tidaklah dilakukan secara saintifik atau ilmiah. Dalam bab terakhir buku ini dijelaskan tentang perbezaan antara bidang etimologi tulen dengan etimologi rakyat. Bidang etimologi tulen merupakan suatu bidang ilmu linguistik yang meneliti sejarah dan perkembangan sesuatu perkataan atau rangkai kata. Etimologi rakyat pula ada yang menganggapnya sebagai etimologi yang tidak tulen. Oleh hal yang demikian, etimologi rakyat tidak menerangkan perubahan tentang sejarah perkataan secara alamiah atau natural, tetapi merujuk perubahan yang dibuat oleh orang dengan cara yang salah.
Secara umumnya, dapatlah dikatakan bahasa etimologi merupakan bidang ilmu yang cukup penting dalam kajian linguistik, termasuklah linguistik Melayu. Kajian etimologi memang bidang yang cukup mencabar kerana dalam kajian ilmu ini, pelbagai aspek linguistik perlu dimanfaatkan. Buku ini amat sesuai dijadikan rujukan para pelajar pada peringkat pengajian tinggi, tenaga akademik dan juga kepada mereka yang meminati bidang etimologi atau sejarah bahasa. Buku ini juga diharapkan akan menjadi pencetus minat kepada pembaca dan pengkaji untuk menerokai bidang etimologi bahasa Melayu dengan lebih meluas.
No reviews found