Tajuk: Erti Beragama Yang Hilang
ISBN:9789672459071
Penerbit: Iman Publication
Penulis : Hasrizal Abdul Jamil
Tahun Terbitan: 2021
Muka Surat: 315
Halaman: Hitam Putih
Format: Softcover
Berat (kg): 0.426
Dimensi (cm): 14.8cm x 21cm x 1.7cm
Ia merungkaikan sudut-sudut beragama yang biasa dilakukan oleh seorang Muslim secara ritual seperti akidah dan ibadah, lalu menghubungkan sudut-sudut beragama yang kadang kala tidak dilihat sebagai suatu yang sama besar kepentingannya sepeti akidah dan ibadah iaitu akhlak, perhubungan antara manusia dalam keluarga dan masyarakat.
Bab penutup buku ini juga terkandung nota yang sangat penting kerana memaparkan enabler atau pemboleh kepada segala cita-cita besar yang dinyatakan sebelumnya. Pemboleh tersebut adalah kita harus mampu kawal dan kendali diri.
Puluhan tahun yang lalu, almarhum Dr Fathi Yakan menyoal, ”Apa erti saya menganut agama Islam?” Naskhah Māzā Ya’nī Intimā’i li al-Islām yang beliau hasilkan telah dibaca ramai, diterjemah ke pelbagai bahasa, merentas sempadan geografi dan masa, berkhidmat membantu kita umat Islam menjawab pertanyaan itu.
Ia bukan soalan biasa macam soalan-soalan lain yang pernah kita jawab.
Soalan ini memerlukan kita menjadi lebih daripada seorang penghafal jawapan, atau penukil kata.
Ia memerlukan kita menjadi ’meaning maker’, insan yang dikurniakan Penciptanya dengan keupayaan berfikir dan menghasilkan makna. Ini bersesuaian dengan cabaran masa kini, bahawa mengertikan kembali makna beragama yang hilang, adalah satu keperluan yang besar.
Erti beragama yang hilang itu terjadi bukan kerana kita kehilangan agama. Tetapi kita kehilangan makna.
Hingga agama jadi warisan. Bukan pilihan.
Kita kehilangan erti kerana erti datang hasil berfikir. Bukan hasil menghafal dan menyalin jawapan.
Seumpama masih makan buah, tetapi khasiat buah itu tidak diserap dan mendatangkan manfaat yang sepatutnya. Hanya serat-serat yang diproses. Masih ada gunanya, bagus untuk pelawasan diri. Tetapi tidak menjadikan kita sihat. Lebih sihat.
Dr. Fathi Yakan memberi kepada kita naskhah Māzā Ya’nī Intimā’i li al-Islām atau ”apa erti saya menganut agama Islam?” itu, bukan dicapai maksudnya dengan mengangguk kepada apa yang diterangkan oleh beliau. Tidak juga sekadar membaca penuh hambar di dalam bulatan ilmu yang kaku.
Ia memerlukan pembinaan. Construct, melengkapi proses untuk sebuah confession.
Naskhah Erti Beragama Yang Hilang hadir untuk meneman dan membekal proses berkenaan. Ia adalah usaha kecil saya untuk menghubungkan karya Dr. Fathi Yakan dengan realiti kita hari ini.
Di dalam dunia yang sangat asing, apatah lagi dek penangan pandemik yang mengubah norma kehidupan, saya berdoa kepada Allah agar naskhah ini bermanfaat buat saya dan sahabat mengertikan kembali makna kita beragama, bukan untuk berdebat atau bersoal jawab dengan manusia sekeliling, tetapi lebih kepada menjernihkan renungan hati sendiri kepada pertanyaan siapa diri ini, siapa Dia, dan bagaimana hubungan diri ini dengan Penciptanya, di dalam sebuah kehidupan.
Bacalah.
Dengan nama Tuhan.
Tuhanmu sendiri.
Sang Pencipta.
Bismillah.
Hasrizal
Naas, Ireland
9 Januari 2021 / 25 Jumada al-Ula 1442
PENULIS
Hasrizal Abdul Jamil berasal daripada Ipoh, Perak. Beliau seorang graduan Sarjana Muda Syariah (Kepujian) di Universiti Mu’tah, Jordan pada tahun 2001. Pernah berkhidmat sebagai Minister of Religion di Belfast Islam Centre di bawah tajaan The Al-Maktoom Foundation, UAE di samping bertugas sebagai Muslim Chaplain di The Queen’s University, Ireland Utara.
Kini, beliau sekeluarga bermastautin di Naas, Republic of Ireland. Terdahulu, beliau berada selama beberapa tahun di Oulu, Finland untuk menerima latihan ilmiah dan industri di bidang Learning, Education and Technology serta Educational Entrepreneurship. Beliau berkhidmat sejak tahun 2014 sebagai Pengarah Pendidikan di Yayasan Pendidikan Khalifah yang menguruskan Khalifah Model School (Rendah) dan Khalifah Model School (Menengah).
Beliau juga merupakan ahli Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara pada tahun 2018-2019 yang berperanan menyemak dan menganalisis kurikulum dan sistem Pendidikan Negara untuk penambahbaikan bersama 12 orang pakar pelbagai bidang yang telah dilantik sendiri oleh Menteri Pendidikan Malaysia ketika itu, YB Dr. Maszlee Malik.
Selain kegiatannya yang aktif dalam relung pendidikan, Hasrizal terlebih dahulu dikenali sebagai seorang penulis yang prolifik terutamanya melalui blog utama beliau www.saifulislam.com.
Karangan yang menaikkan nama beliau suatu ketika dahulu adalah Aku Terima Nikahnya yang diterbitkan pada tahun 2008. Sehingga kini, 21 buah buku telah beliau karang. Penulis juga aktif berkongsi pelbagai renungan di samping travelog hidupnya di Facebook (@hasrizalabduljamil), Twitter (@hasrizal2020), Instagram (@iamhasrizal) dan Youtube (@iamhasrizal).
No reviews found