[TOMO] EJAAN RUMI SEPANJANG ZAMAN OLEH ISMAIL BIN DAHAMAN | DBP [T2]

Write a review
RM30.00
Ask a question
Price in points: 30 points
9789836292803
In stock
+

Ejaan Rumi Sepanjang Zaman mendokumentasikan bahasa Melayu yang bertradisi agung sebagai wadah penampilan wajah peribumi bangsa Malaysia daripada sudut perancangan pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu serantau, khususnya bidang pembakuan sistem ejaan Rumi di Malaysia. Pedoman ejaan Rumi yang dikemaskinikan bagi bahasa Melayu dan bahasa Indonesia yang digunakan sekarang ialah Sistem Ejaan Rumi Bersama (SEB) yang dirasmikan pada 16 Ogos 1972. Pelaksanaannya sebagai alat komunikasi bahasa dan penyampai ilmu berjaya dan berkembang dengan sihat.

Pelbagai golongan masyarakat menerimanya dengan baik dan menggunakannya dengan meluas dalam segala urusan penulisan dan penerbitan di Malaysia dan di Indonesia. Penulisan ini mengutarakan sejarah perkembangan ejaan Rumi daripada penggunaan huruf Latin yang pertama dalam abad ke-16 hingga kepada rumusan Sistem Ejaan Rumi Bersama tahun 1972.

Terdapat pola keselarasan bunyi vokal tertentu dalam sistem fonologi bahasa Melayu yang berlaku secara tetap (constant), sekurang-kurangnya bermula pada awal abad ke-16 hingga Sistem Ejaan Rumi Bersama tahun 1972 dilaksanakan. Sistem keselarasan vokal yang dimaksudkan itu ialah kehadiran bunyi (e) dan (o) pada suku kata akhir tertutup sekiranya suku kata praakhir mengandungi vokal /a/, /i/, /u/ atau pepet, iaitu sistem bunyi menurut dialek Melayu Riau-Johor yang mendasari bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Kesimpulan ini dibuat berlandaskan perlakuan grafem dalam hampir kesemua tulisan dan sistem ejaan Rumi sebelum abad ke-20 yang menggunakan (e) dan (o) pada suku kata akhir tertutup sebagai lambang bagi bunyi yang dimaksudkan. Di Malaysia, fonem /e/ dan /o/ pada posisi akhir tertutup yang mengikuti /a/, /i/, /o/ atau pepet yang hadir sebelumnya masih berlaku sebagai bunyi [e] dan [o], sedangkan Sistem Ejaan Rumi Bersama tahun 1972 melambangkannya dengan (i) dan (u) satu per satu.

Sesungguhnya, tanpa bunyi bahasa, tiada kata untuk ujaran. Tanpa ujaran, tiada tulisan dan ejaan. Sudah separuh alaf usaha dilakukan untuk merakamkan bahasa Melayu dengan tulisan Rumi, di samping tulisan Jawi. Justeru penelusuran usaha dan kepustakaan dalam tempoh tersebut mempamerkan wujudnya kebersungguhan masyarakat antarabangsa dan setempat dalam mengenali bunyi sebutan dalam bahasa Melayu serta mencipta, menggunakan dan membakukan ejaan Rumi sepanjang zaman.

No reviews found