Malaysiaku Gemilang begitulah tema Hari Kebangsaan Malaysia
yang ke-50 tahun yang bakal kita sambut pada 31 Ogos ini.
Kemerdekaan perlu kita pertahankan dalam segala aspek
kehidupan agar generasi akan datang dapat terus mengecap
nikmatnya. Maka sesuai dengan itulah Antologi Puisi: Warkah
Anak Merdeka Universiti Teknologi Malaysia diterbitkan khas
sempena sambutan jubli emas kemerdekaan negara. Penerbitannya
berjaya diusahakan hasil daripada penganjuran Sayembara Menulis
Puisi Kemerdekaan dan Patriotisme Negara bagi staf Universiti
Teknologi Malaysia (UTM). Matlamat sayembara adalah untuk
memperkukuhkan semangat patriotisme, di samping mencungkil
bakat penyair dalam kalangan staf UTM yang rata-rata berlatar
belakang disiplin sains dan teknologi. Penyertaan daripada staf
akademik dan bukan akademik dari pelbagai jabatan dan fakulti di
UTM Skudai, bahkan staf dari City Campas, Kuala Lumpur amat
menggalakkan. Seramai 73 orang penyair terdiri daripada 30 orang
staf akademik dan 43 staf bukan akademik daripada pelbagai
kumpulan perjawatan menyertai sayembara ini. Sebanyak 123 buah
puisi diterima dan setelah proses saringan menerusi penilaian yang
berasaskan piawaian kriteria penilaian Dewan Bahasa dan Pustaka,
hasilnya sebanyak 50 puisi dipilih. Inilah pertama kali penerbitan
seumpama ini direncanakan sebagai satu usaha merakamkan tanda
cinta dan patriotisme staf UTM dalam menyemarakkan dunia
kesusasteraan tanah air.
No reviews found