Tanggam Rumah Melayu menghuraikan tentang satu sistem yang merujuk suatu bentuk penyambungan struktur kayu dan merupakan elemen penting dalam pembinaan kayu tradisi. Tanggam merupakan warisan seni bina Melayu yang menggambarkan pencapaian teknologi serta kepakaran masyarakat Melayu dahulu berkaitan bahan binaan, iaitu kayu. Buku ini mengetengahkan satu kajian mengenai tipologi tanggam yang mengaitkan rekabentuk, kekuatan serta penggunaannya dalam pembinaan rumah tradisional Melayu.
Di sebalik pencapaian teknologi tinggi dalam pembinaan rumah tradisional Melayu suatu ketika dahulu, kini berhadapan dengan kepupusan serta kejahilan masyarakat Melayu di zaman moden tentang kewujudannya. Hal ini disebabkan kurangnya dokumentasi tentang kemahiran atau jenis sistem tanggam yang wujud dalam alam bina Melayu. Walaupun terdapat beberapa kajian mengenai tanggam dilaksanakan sebelum ini, namun masih belum kelihatan satu kajian yang komprehensif mengenai upologi tanggam yang wujud di negara ini. Kajian tipologi tanggam penting kerana melaluinya, aspek-aspek yang tersembunyi di sebalik pembinaan tanggam dapat dicungkil seperti kejuruteraan struktur dan pengetahuan bahan. Di dalam memelihara warisan binaan agung ini, satu kajian asas mengenai binaan tanggam perlu dilaksanakan terlebih dahulu kerana melaluinya, pelbagai penyelidikan baru yang berkait dengan seni bina tanggam Melayu dapat diketengahkan.
Kajian ini merangkumi kajian terhadap reka bentuk tanggam dan penggunaannya pada struktur-struktur binaan yang terdapat pada rumah tradisional Melayu. Melaluinya, satu hubung kait mengenai reka bentuk dan kekuatan struktur sambungan tanggam dapat dikenal pasti. Kajian telah dilaksanakan berlandaskan sumber penulisan sedia ada mengenai tanggam di Malaysia serta analisis mengenal penggunaan tanggam rumah tradisional Melavu seperti yang terdapat di dalam manuskrip lukisan terukur rumah tradisional Melayu yang diperoleh dari Pusat Kajian Alam Bina Melayu (KALAM), Universiti Teknologi Malaysia.
Hasil daripada kajian ini, satu tipologi tanggam yang menjelaskan perkaitan antara reka bentuk, kekuatan struktur sambungan dan zon penggunaannya dalam pembinaan rumah tradisional Melayu diketengahkan. Penemuan dalam buka ini akan berfungsi sebagai satu bentuk kerangka pemikiran dalam warisan tanggam pada masa akan datang.
No reviews found