[DBP] SUSUR GALUR BAHASA MELAYU EDISI KEDUA. ASMAH HAJI OMAR. [RAK 11]

Write a review
RM50.00
Ask a question
Price in points: 50 points
In stock
+

Susur Galur Bahasa Melayu adalah sebuah kajian linguistik sejarah (historical linguistics) serta juga dialektologi bahasa Melayu, untuk mengesan sejarah pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu. Sejarah yang tersebut itu tidak dapat dipisahkan dari sejarah pertumbuhan dan perkembangan bahasa yang serumpun, dan dengan demikian juga sejarah bangsa atau suku bangsa yang menuturkan bahasa yang berkenaan. Berdasarkan pertimbangan di atas itu, maka buku ini dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian I memperkatakan aspek-aspek di luar sistem bahasa, yakni penyebaran bahasa dan bangsa, sejarah perpindahan rumpun Austronesia, perkaitan antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa serumpun, khususnya bahasa-bahasa di Sabah dan Sarawak, dan juga penyebaran bahasa Melayu dalam kawasannya. Bahagian II memeriksa dialek-dialek Melayu, termasuk bahasa Melayu standard, dari segi sistem bunyi. Tiap-tiap dialek itu dilihat dari segi keseluruhannya dan juga dari segi pembahagian yang dikenakan kepada keseluruhan itu, atau dalam perkataan lain dari segi subdialek-subdialeknya.

Penentuan subdialek-subdialek itu didasarkan kepada perbezaan-perbezaan kecil antara satu subdialek dengan subdialek yang lain dalam sistem bunyinya. Sesuatu dialek itu didapati mempunyai kawasan yang dinamakan kawasan dialek. Demikian juga sesuatu subdialek itu mempunyai kawasannya, yang dinamakan kawasan subdialek, atau subkawasan dialek. Ada kalanya kawasan ini sama dengan kawasan politik-pentadbiran atau negeri, dan ada kalanya tidak. Di samping itu, dalam kawasan dialek tertentu, bukan sahaja terdapat subdialek-subdialeknya tetapi juga terdapat dialek lain yang menyela, yakni dialek pendatang. Sebagai contoh, dialek Minang di Selangor, dialek Rawa di Perak dan dialek Petani di Kedah dan Perak. Dialek-dialek pendatang ini juga dibandingkan dengan dialek tempatan dan subdialek-subdialeknya.

Perbandingan antara subdialek itu sedikit sebanyak dapat menunjukkan arah perkembangan sesuatu dialek dalam kawasannya, dan dengan demikian dapat memberi petunjuk tentang pusat perkembangan dialek tersebut. Juga perbandingan itu dapat memperlihatkan perkaitan antara dialek-dialek yang berlainan dari sistem bunyinya. Perkaitan itu menentukan sama ada sesuatu dialek itu jauh atau dekat perbezaan atau persamaannya dengan dialek yang lain. Huraian sistem fonologi dialek-dialek Melayu memungkinkan rekonstruksi dalaman yang dilakukan dalam Bab 22. Rekonstruksi ini bukan sahaja memberi gambaran tentang sistem fonologi bahasa Melayu Induk yang menurunkan dialek-dialek itu, tetapi juga dapat membantu dalam pemberian penjelasan tentang perubahan bunyi yang berlaku dalam sistem bunyi bahasa Melayu.

No reviews found