Emmamalia adalah kumpulan esei Kemala, atau nama sebenar beliau Ahmad Khamal Abdullah yang diterbitkan dalam Dewan Sastera sekitar tahun 2012 sehingga 2019. Melihat situasi dunia yang selalu bergolak pada abad ke20 dan menjelang abad ke-21 ini, dalam Emmamalia penulis sempat bertanya, akan runtuhkah peradaban, dan masih wujudkah kemanusiaan dan peradaban di dunia yang sama-sama dijulang dan ditunggangi Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB)? Jawapannya banyak menjurus kepada pesimisme. Di Nusantara Melayu Raya juga menghadapi masalah untuk mewujudkan tamadun yang diasaskan oleh nenek moyang kita. Pengalaman Malaysia ialah pengalaman yang berupa ujian bagi mewujudkan solidariti dan perpaduan antara kaum. Tolak ansur dan rasa saling menghormati menjadi jambatan utama untuk mengelakkan prasangka yang leluasa. Tragedi 13 Mei yang Malaysia lalui tentulah meninggalkan kesan yang tidak dapat dikikis begitu sahaja. Parutnya, parut yang abadi. Agama, budaya, bahasa dan adat resam menjadi pakaian tradisi yang bersatu dalam kehidupan sehari-hari masyarakat kaum berkenaan. Pemerintah, budayawan dan intelektual mencari cara penyelesaian yang halus, bukan secara drastik. Ilmu pengetahuan baharu bukan segala-galanya untuk mengatasi sensitiviti antara etnik itu. Isu ini turut penulis sentuh dalam Emmamalia.
No reviews found