Kisah Pelayaran Muhammad Ibrahim Munsyi mengandungi lima kisah pelayaran Muhammad Ibrahim Munsyi ke negeri Johor, Melaka, Selangor, Perak dan Pulau Pinang pada tahun 1871 dan 1872. Melalui tulisan yang memiliki historical sense ini, beliau telah memberikan satu perspektif yang lebih tepat mengenai masyarakat Melayu. Perkembangan sejarali itu dilihat daripada kaca mata tempatan. Buku ini memaparkan maklumat yang lebih jelas tentang bahasa, tulisan dan masyarakat Melayu di bahagian kedua abad ke-19. Selama ini orang sudah kenal Kisah Pelayaran Abdullah sebagai suatu sumber sejarah yang amat bernilai. Munsyi Abdullah pengarang buku itu dan juga pengarang Hikayat Abdullah—guru Bahasa Melayu kepada ramai penduduk Inggeris di Singapura pada pertengahan pertama abad kesembilan belas, termasuk Stamford Raffles—memang dianggap sebagai seorang sasterawan dan penulis sezaman yang tiada tolok bandingnya. Oleh sebab dia banyak menulis tentang masyarakat Melayu tradisional, maka buku-bukunya biasa digunakan sebagai sumber sejarah yang penting oleh ahli-ahli sejarah zaman sekarang, terutamanya bagi mereka yang ingin menulis tentang sistem dan nilai sosial peribumi. Disebabkan hal ini, Abdullah sentiasa dianggap sebagai seorang tokoh penulisan abad kesembilan belas. Dan ini tidak pernah dinafikan walaupun ada yang menimbulkan kontroversi. Segala hasil penulisan selepas Abdullah waktu ini terletak di bawah bayangannya.
No reviews found