Kandungan buku Kemahiran Literasi Asas Kanak-kanak ini menerangkan kerangka teori serta definisi literasi asas bahasa kanak-kanak. Perkembangan bahasa kanak-kanak pada peringkat awal telah pun bermula sebelum mereka melalui proses pendidikan yang formal. Interaksi sosial kanak-kanak bersama-sama keluarga dan rakan sepermainan membantu mereka untuk berkembang. Sehubungan dengan hal itu, buku ini selayaknya dijadikan rujukan untuk menambahkan pengetahuan asas proses sosialisasi kanak-kanak.
Selain itu juga, buku ini mendukung prinsip pendidikan untuk semua kanak-kanak bagi mengakui serta menyediakan keperluan pendidikan khas. Teknik pengajaran dan pembelajaran yang tertentu diperlukan untuk melayani kepelbagaian keupayaan kanak-kanak. Yang turut dipaparkan ialah hasil kajian ilmiah untuk menunjukkan bahawa prinsip pengajaran yang baik adalah sama untuk semua kanak-kanak, termasuk kanak-kanak berkeperluan khas.
Dalam konteks literasi kanak-kanak, tidak dinafikan bahawa terdapat kanak-kanak tertentu yang mempunyai perkembangan lewat atau tertangguh yang lebih signifikan, contohnya sindrom down, autisme dan cacat. Selanjutnya buku ini membantu kita untuk menyesuaikan pengajaran mengikut keperluan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana perbezaan pengajaran dari segi isi kandungan dan proses mungkin diperlukan untuk mereka menguasai bahasa.
Bahasa dan pertuturan mempunyai hubungan yang rapat dengan penguasaan dan pencapaian literasi. Ibu bapa, guru dan masyarakat sewajarnya menjadikan buku ini bahan bacaan untuk memahami pengetahuan literasi, seterusnya dapat memainkan peranan untuk mengamalkan literasi yang maksimum kepada kanak-kanak.
No reviews found