Buku Ke Luar Jendela ini memaparkan sejumlah 55 makalah hasil tulisan Hassan Ahmad yang pernah tersiar dalam Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya. Makalah dalam kumpulan yang dipilih ini menyentuh tiga persoalan penting dan besar dalam kehidupan, kepercayaan, pemikiran dan kemajuan atau pembangunan manusia iaitu bahasa, budaya dan agama. Tamadun manusia tidak wujud tanpa bahasa, budaya dan agama. Kemajuan manusia sepanjang zaman, dalam bidang apa pun, baik ilmu, ekonomi, politik, dan teknologi, misalnya, semuanya bergantung pada atau dipengaruhi oleh bahasa, budaya dan agama manusia itu. Penulis melihat bahasa tidak hanya sebagai sistem atau struktur bahasa atau linguistik tetapi lebih penting lagi dari segi fungsinya, iaitu bahasa sebagai cara manusia membentuk fikirannya dan membina budaya dan tamadunnya. Budaya ialah cara hidup manusia, dan bukan hanya adat resam atau amalan ritual luaran. Yang penting ialah nilai budaya itu. Dari segi inilah penulis menganggap budaya sebagai sumber pembangunan manusia yang penting dalam masyarakat dan negara. Budaya tidak boleh dipisahkan dari seluruh proses pembangunan manusia. Penulis melihat agama bukan sebagai punca perselisihan dan permusuhan antara manusia yang menganut pelbagai agama tetapi sebagai sumber perpaduan dan persefahaman. Beliau melihat kejahilan akal, fikiran dan ilmu sebagai punca sering berlakunya perbuatan menghina sesuatu agama. Buku ini sangat sesuai dibaca oleh semua golongan pembaca."
No reviews found