Dalam Ribuan Mimpi Gelisah - Memoir Said Zahari. [Utusan]

Write a review
RM29.00
Ask a question
Price in points: 29 points
9789676118486
In stock
+

Dalam Ribuan Mimpi Gelisah merupakan memoir Said Zahari yang kedua selepas Meniti Lautan Gelora. Walaupun judulnya bernada puitis, namun penulisannya amat konsisten dengan konsep genre sebuah memoir yang jelas mencatatkan pengalaman, pengamatan dan pemikiran, worldview, penulis, tanpa saduran apa pun, wartawan veteran dan bekas tahanan politik dari penjara Singapura tahun-tahun 1960-1970-an itu. Pendirian politik antipenjajah, antiimperialisme, Said Zahari amat ketara dalam buku ini seperti juga dalam buku pertamanya, Meniti Lautan Gelora—sebuah memoir politik yang terbit pada tahun 2001. Begitu juga pendiriannya terhadap rejim PAP pimpinan Lee Kuan Yew yang bertanggungjawab atas penangkapan dan pemenjaraannya selama 17 tahun itu adalah amat jelas.

Dengan berani dan tegasnya, Said Zahari mendedahkan kekejaman rejim PAP khususnya terhadap penentang-penentang politiknya yang ditangkap dan ditahan tanpa bicara, menggunakan undang-undang yang diwarisinya daripada penjajah British. Seksaan dan deraan ke atas para tapol dicatatkan oleh Said Zahari dengan terperinci. Sukar dipercayai perbuatan kejam seperti itu boleh berlaku, dan kita tidak akan tahu jika orang yang terdera dan terseksa itu sendiri tidak menceritakannya.

Itulah fokus Dalam Ribuan Mimpi Gelisah. Said Zahari terpenjara selama 17 tahun, tanpa pembicaraan di mahkamah, Justeru tidak pernah dibuktikan dosa beliau dihukum penjara begitu lamanya. Kalau ini bukan satu kekejaman terhadap beliau, apa namanya itu? Namun, setelah membaca buku ini, kita menemui seorang insan yang tidak menyimpan rasa dendam terhadap orang yang memfitnah dan menghumbankannya ke dalam penjara. Manusia apa pula namanya ini?

Kita membaca cerita yang bersahaja, bukan sahaja tentang penderaan dan penyeksaan terhadap orang yang ditahan bersamanya tetapi juga terhadap penyeksaan ke atas dirinya sendiri sepanjang 17 tahun itu. Yang menarik lagi adalah ceritanya tentang perjuangan tahanan politik dalam penjara, bentuk perjuangan dan pengorbanan mereka. Dalam buku ini Said Zahari bukan hanya membuat catatan tentang pengalaman pahit getir mereka tetapi yang lebih menarik lagi ialah beliau juga menganalisis tindakan mereka itu, dan memuhasabah serta mengkritik diri sendiri.

Memoir jilid kedua Said Zahari ini menceritakan juga kisah derita menyayatkan hati isteri dan anak-anak kecilnya yang beliau tinggalkan pada 2 Februari 1963 apabila beliau diheret ke penjara oleh polis “rejim Lee Kuan Yew yang didokong oleh penjajah British itu”. Pembaca akan kagum dengan cerita penderitaan keluarga Said Zahari semasa beliau terpenjara. Kita dapat melihat Said Zahari yang berpendirian tegas dan tak tahu erti takut kerana memperjuangkan keadilan dan kebenaran itu, rupa-rupanya masih berperasaan dan beremosi seperti manusia biasa juga. Katanya, dia begitu terperanjat dan terharu, lantas jiwanya tertekan setelah mendengar kisah kesengsaraan hidup yang diluahkan oleh isterinya, buat pertama kali, semasa beliau dalam buangan di Pulau Ubin dan sudah hampir akan dibebaskan,

Semasa mendengar luahan cerita hidup sengsara yang dialami keluarganya itulah tiba-tiba mata hatinya “tercelek” lalu tersedar akan “dosa-dosanya” terhadap isteri dan anak-anak…. Muhasabah diri Said Zahari dan pengakuan kesalahannya dalam hal ini amat ketara. Lantas dia minta ampun kepada Ilahi kerana “memungkiri ikrar semasa diijabkabulkan” dengan isterinya, Salamah. Ternyata itulah “harga” yang harus dibayar oleh Said Zahari dalam perjuangannya menentang fitnah dan tuduhan melulu yang dibuat-buat oleh Lee Kuan Yew yang bersekongkol dengan penjajah British. Kontradiksinya di sini ialah: melawan fitnah (dalam penjara) di satu pihak, dan mengingkari tanggungjawab terhadap keluarga (di luar penjara) di satu pihak yang lain.

No reviews found