Setelah perasaan terhadap Zul Irfan terbongkar, tiada lagi rasa canggung saat berhadapan dengan si jejaka cinta secret admirer sejak sekian lama itu. Hubungan persahabatan terjalin antara mereka. Namun, semua itu hanya seketika cuma. Menjelang peperiksaan SPM, sikap Zul Irfan berubah. Amrina seakan-akan kembali halimunan di mata. Entah apa salahnya, entah di mana silapnya, Amrina sendiri tidak mengerti. Akhirnya, cinta di hati dibiar pergi dan fokus utama kembali kepada akademik dan peperiksaan yang menanti.
Selepas tamat SPM, Amrina tidak menyambung pelajaran kerana keadaan keluarga yang tidak mengizinkan. Namun, atas desakan sahabat baik, Amrina bersetuju untuk meneruskan impian ke menara gading walaupun sedikit terlewat berbanding rakan seusia yang lain. Entah kenapa, kenangan sewaktu di zaman sekolah kembali menerjah ruang fikiran. Apa khabar agaknya Zul Irfan? Bertahun tidak bertukar berita. Senyap sunyi, hilang dari radar.
Hati Amrina cuba untuk membuang perasaan cinta monyet zaman sekolah itu. Namun, pada kala itu juga dia mengetahui hakikat bahawa dia bakal menyambung pengajian di universiti yang sama dengan bekas pujaan hati. Cinta lama berputik Kembali? Mungkinkah ia terjadi? Berdebar-debar rasa hati Amrina.
Mungkin inilah ketentuan takdir untuk menjalin kembali hubungan yang terhenti satu ketika dahulu.
Disangka panas hingga ke petang, ternyata ribut taufan di tengah hari. Hajat di hati untuk bertemu kembali dengan Zul Irfan benar-benar sudah terjadi, namun ternyata Zul Irfan telah melupakan dirinya. Boleh pula Zul Irfan tidak mengecam dan mengenal sahabat lama. Dilayan pula Amrina bagaikan orang asing. Tambahan pula, status Amrina sebagai junior di pusat pengajian itu, membuatkan Amrina semakin diperkotak-katikkan.
Adakah Amrina akan terus mengejar cinta lama? Mampukah hatinya yang berkecai itu disembuhkan lukanya? Ketahui kisahnya dalam broken HEALING
No reviews found