Babi, Kongkang, Panda dan Hal-hal yang Dipungut Kembali merupakan sebuah kumpulan espen karya Faisal Tehrani. Espen, sebuah genre baharu gabungan esei dan cerpen yang diangkat oleh Mohd Affandi Hassan telah dijadikan suatu bentuk eksperimen sastera oleh Faisal Tehrani menerusi 25 buah penulisannya dalam buku ini. Tulisannya dalam kumpulan ini, rencam. Ada kenang-kenangan sebermula sekolah rendah, kritik agama dan politik, menjejak nestapa kemanusiaan di Jepun, coretan-coretan duka laranya di ranah sendiri yang terbungkam akibat COVID-19 dan mempamit rindu Hussein di Afghanistan. Inilah espen. Esei yang dipadukan dengan elemen cerpen. Harapannya ialah pembaca akan mendapatkan kemanusiaan, kebenaran, kejujuran, keindahan dan mungkin ditokok satu lagi komponen iaitu proses kognitif; penaakulan. Diintikan fakta dan kadang kala angka, esei ini dikelim dengan plot, tema, latar, watak dan bumbunya kembali kepada pencarian, atau zeteo.
Espen ini merentang masa empat lima tahun ke belakang. Masa lima tahun yang dipanggil era keciciran. Di mana kanak-kanak melesat menjadi remaja; manakala yang berusia tiba-tiba di jurang kematian. Entah salah apa, masa lima tahun kebelakangan itu menjadikan persekitaran pembaca mencepat secara roket dan banyak hal yang belum matang, dilihat seakan matang. Ia era yang sempat membuat kita semuanya merasa gerun.
No reviews found