Apa Itu Tasawuf? - Martin Lings

Write a review
RM55.00
Ask a question
Price in points: 55 points
Out of stock

Judul asal: What Is Sufism?

Penulis: Martin Lings

Penterjemah: Khairul Anam 

Penyunting: Al-Mustaqeem M. Radhi.

Tahun terbit: 2022

Halaman: 200 mukasurat

ISBN: 9789670037097

Ukuran: 13 x 20 x 3 cm 

Berat: 0.45 kg

Harga: RM 55.00

- Buku Apa itu Tasawuf?, karangan Martin Lings, sebuah pengantar ringkas tetapi sangat mendalam dan berwibawa yang ditulis menurut pengalaman pengarang sebagai seorang yang ahli. Jawaban sangat jelas yang diberikan pengarang kepada soalan “Apa itu Tasawuf?” akan membuatkan pembaca seolah-olah dapat merasai pokok persoalan ini sendiri. Apakah yang dipercayai golongan Sufi? Apakah matlamat hidup mereka? Bagaimanakah mereka menjalani kehidupan mereka? Berbeza daripada penulis lain, Martin Lings membincangkan semua soalan ini dengan adil dan saksama, dan dengan demikian berupaya menjawabnya dari sudut berbeza namun kesemuanya menuju kepada lubuk persoalan tersebut.

KATA PENGANTAR Apa itu Tasawuf?—sebagaimana terzahir pada judul dan ukurannya—sebuah buku berupa pengantar. Namun ramai pembaca yang berhajat kepada sebuah buku kecil yang memberi tinjauan serba ringkas yang mudah difahami perihal ajaran ruhani Islam barangkali akan segera menyedari, sebaik membaca baru beberapa halaman daripada bab pertamanya, bahawa mereka sudah terpedaya dengan rupa zahirnya. Kerana buku ini tidak sesuai sebagai bacaan ringan bagi melayani hobi membaca sambil bersantai di kedai kopi. Sebaliknya, pengarangnya menuntut daripada pembaca sesuatu yang tiada kurang daripada “perhatian yang mendalam serta bersungguh-sungguh kepada benda bersifat ruhani.” Bahkan kesungguhan pengarang sendiri jelas kelihatan daripada ayat pembukaan bab pertama lagi yang tanpa bertangguh-tangguh menarik pembaca untuk terus terjun menyelam ke dasar persoalan ini tanpa memperkenal barang sedikit pun latar sejarah atau keagamaannya. Dengan lain kata, Apa itu Tasawuf? mengundang pembaca tetapi pada waktu sama menidakkan ramai pembaca. -

Martin Lings terpanggil untuk menulis buku ini kerana wilayah Barat pada waktu itu sedang menyaksikan kemunculan minat yang besar kepada benda bersifat ruhani daripada tradisi agama Timur akibat bertegang hidup dalam kehampaan kalbu. Namun, benda yang nista jikalau dia menyentuh benda yang kudus tanpa dia sedari tetap jua mahu menjangkitkan kotorannya hingga mencemarkan kemuliaannya. Demikianlah yang terjadi pada waktu itu hingga timbul apa yang layak digelar sebagai gerakan keruhanian palsu. Maka Martin Lings, sebagai seorang yang ahli dalam jalan ruhani Islam, tampil mengambil tanggungjawab untuk menjernihkan keraguan dan kecurigaan yang timbul terhadap tasawuf. 

Buku ini ditulis untuk pembaca Barat, namun pesan dan hasil perenungan akliah yang terkandung dalamnya tetap bermanfaat kepada sesiapa pun walau di mana jua. Dalam mengerjakan terjemahan bahasa Melayu ini, telah saya cuba pada beberapa tempat untuk menghilangkan latar Baratnya dan menggantikannya dengan ucapan yang lebih dekat dengan pembaca yang sudah agak mengenali agama Islam dalam rantau Melayu. Dalam pada itu saya banyak mengguna atau memperkenalkan kembali kosa kata yang dulu pernah menjadi kebiasaan dalam persuratan kesufian dan sastera di Tanah Jawi namun kini jarang sekali disebut dalam tulisan mahupun percakapan harian. Semoga ini memberi manfaat dalam memenuhi keinginan kita untuk memperoleh kefahaman dan pengenalan tentang sisi batin agama Islam sambil membantu kita menghimbau gaya pengucapan nenek moyang kita sendiri.

- Kata Pengantar Penterjemah (Khairul Anam)

No reviews found